LANGKAWI 6 Mac – Jiran kepada pasangan suami isteri yang dipercayai terbabit dalam kes kematian kanak-kanak, Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, sering terdengar tangisan kanak-kanak pada waktu malam.

Mohd. Faizal Zakaria, 49, berkata, teriakan tersebut didengarinya hampir setiap malam sejak pertengahan bulan lalu, namun tidak menyangka suara tersebut adalah dari rumah jirannya yang terletak di tingkat tiga kuarters terbabit.
“Saya ingat anak-anak mereka yang menangis, sebab saya tak pernah tengok kanak-kanak itu sebelum ini dan apabila budak menangis saya anggap biasa sahaja.
“Lagi pun memang ramai kanak-kanak di sini dan saya fikir kalau mereka menangis kerana sakit pun mesti akan dibawa ke klinik, cuma saya dengar tangisan mangsa ini agak berlainan sikit,” katanya ketika ditemui di Kuarters Hospital Langkawi, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Nur Aisyah Aleya ditemukan mati di Gunung Raya kira-kira pukul 11.30 pagi ini dalam keadaan menyayat hati apabila hanya tinggal tengkorak kepala dan cebisan rambut miliknya.
Sementara itu, Mohd. Faizal berkata, dia juga ternampak rumah pasangan itu dalam keadaan berselerak ketika polis datang membuat pemeriksaan baru-baru ini.
“Rumah itu macam sudah tiada orang duduk dan saya juga difahamkan anak-anak mereka juga sudah dipindahkan sekolah ke luar Langkawi kerana salah seorang anaknya bersekolah sama dengan anak saya di sini.
“Saya juga sering terserempak dengan mereka dan suaminya juga selalu menyapa saya kerana rumah kami berdekatan, tetapi tidak sangka kejadian ini berlaku dan saya pun tak tahu mereka sudah lari Selangor,” katanya. – UTUSAN ONLINE











