Jentera Mercedes belum sempurna - Utusan Malaysia

Jentera Mercedes belum sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Pelumba Mercedes, Valtteri Bottas tidak berpuas hati dengan persembahan jentera W10 selepas mengakui tiada sebarang peningkatan mendadak ketika dua sesi ujian pramusim Formula Satu (F1) yang berakhir pada Jumaat lalu.

Justeru, Bottas berharap pasukannya terus bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan terbaik sebelum bermulanya saingan pembuka tirai di Melbourne, Australia pada 17 Mac ini memandangkan seteru utama, Ferrari dilihat semakin agresif.

Ferrari membuktikan mereka tampil dengan persediaan terbaik selepas beraksi cemerlang apabila muncul selaku pasukan terpantas pada dua sesi ujian pramusim menerusi pelumbanya, Sebastian Vettel dan Charles Leclerc.

“Bagi saya, ia bukan sebuah jentera yang sempurna lagi tetapi saya dapat rasakan terdapat potensi pada W10.

“Pada sesi kedua pramusim, saya rasakan jentera semakin baik tetapi ia masih belum cukup sempurna untuk tampil kompetitif pada Grand Prix (GP) Australia nanti,” katanya.

Dalam pada itu, rakan sepasukan Bottas, Lewis Hamilton tidak cemas dengan situasi tersebut malah yakin Mercedes akan tampil positif pada perlumbaan sebenar.

“Saya tidak risau dengan keada­an ini dan tidak kecewa meskipun berada di belakang Ferrari. Saya akui mereka tampil cemerlang malah tahun lalu mereka (Ferrari) juga tampil agresif.

“Namun, kerja keras kami pada perlumbaan sebenar membuktikan kami mampu bangkit. Saya yakin situasi ini akan berubah,” ujarnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN