Jaminan RM8 juta tak cukup meyakinkan MFL - Utusan Malaysia

Jaminan RM8 juta tak cukup meyakinkan MFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Biar­pun berjanji suntikan dana RM8 juta bakal diterima Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) jika penggantungan mereka daripada Liga Malaysia (Liga M) dibatalkan, namun jaminan itu gagal menyelamatkan Singa Utara.

Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak (MFL) semalam menolak rayuan PFA untuk kembali dalam Liga M selepas meneliti dokumen sokongan kewangan yang dikemukakan persatuan tersebut pada 20 Februari lalu.

Dalam proses rayuan, antara dokumen yang diminta MFL adalah jumlah wang penajaan yang akan didepositkan ke dalam akaun escrow (pihak ketiga) bersama akuan peguam dan perancangan masa depan PFA bagi mengukuhkan kewa­ngan.

Menurut MFL, firma undang-undang kemudian perlu mengesahkan jumlah wang penajaan dan mengeluarkan surat kepercayaan kepada MFL untuk menyokong bahawa akaun mereka sememangnya mempunyai dana.

“Perlis dimaklumkan surat daripada peguam itu mesti menunjukkan wang berada di dalam akaun.

“Perlis turut dimaklumkan ia tidak boleh menjadi surat untuk mengatakan bahawa wang akan didepositkan dalam akaun jika rayuan diterima.

“Timbalan Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan bersama penaja berpotensi Perlis bertemu Sekretariat MFL pada 26 Februari lalu untuk mengemukakan dokumen bagi tujuan rayuan.

“Pada mesyuarat tersebut, Perlis me­rayu untuk kekal dalam Liga Perdana dan me­nyatakan mereka tidak berminat menyertai Liga M3 kerana ia akan membawa kepada penarikan penaja.

“Setelah mengkaji dokumen PFA, surat daripada peguam penaja berpotensi menyatakan bahawa penaja berpotensi hanya akan mendeposit dana penajaan RM8 juta jika rayuan Perlis dibenarkan. Ini jelas tidak memenuhi tuntutan MFL yang mahu dana penaja dimasukkan terlebih dahulu dalam akaun escrow,” kata MFL dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Menurut MFL lagi, semua tiga perlawanan awal Liga Perdana yang telah diharungi Perlis musim ini tidak akan diambil kira.

“Semua jaringan gol, jumlah mata dan jumlah perlawanan yang telah berlangsung membabitkan Perlis akan dikira kosong,” tulis MFL.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, PFA tidak berputus asa dan akan mengemukakan ra­yuan kali kedua dalam tempoh terdekat.

“Kita akan cuba minta soko­ngan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mengemukakan dokumen-dokumen serta kertas kerja baharu untuk me­yakinkan MFL.

“Kami hanya diberikan masa seminggu dan tempoh itu tidak cukup dengan segala masalah yang ditinggalkan presiden sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Perlis digugurkan daripada Liga M selepas berdepan masalah tunggakan gaji pemain dan PFA tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing musim ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN