PULAU PINANG 8 Mac – Kegagalan menyelesaikan isu PPR Taman Manggis sehinggakan penduduk terlibat terpaksa bermalam di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sejak tiga hari lalu mencerminkan kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Sambil melahirkan rasa terkilan dan kecewa, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, kejadian penduduk dihalau oleh kerajaan negeri dari rumah mereka sendiri tidak sepatutnya berlaku.
Tambah beliau, kejadian itu juga tidak boleh diwajarkan menerusi apa-apa alasan atau prosedur operasi standard (SOP) oleh kerajaan negeri sekali pun kerana keutamaan ketika ini sepatutnya adalah membela kebajikan rakyat.
“Sepatutnya isu ini boleh diselesaikan lebih awal dan penduduk tidak perlu sehingga terpaksa tidur di pekarangan Komtar sejak tiga malam lalu.
“Sepatutnya juga penduduk ini mendapat pembelaan daripada kerajaan negeri, tapi apa yang berlaku sekarang penduduk pula yang dihalau oleh kerajaan negeri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyertai solat hajat bersama penduduk, ahli-ahli Pas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pekarangan Komtar di sini malam ini yang diimamkan Pesuruhjaya Pas negeri, Fauzi Yusof.
Sehingga malam ini, enam keluarga daripada 22 buah keluarga yang terlibat dalam pengusiran di PPR Taman Manggis oleh kerajaan negeri nasih tinggal di pekarangan Komtar sejak Rabu lalu.
Dalam pada itu, Fauzi berkata, Pas mengambil perhatian serius berhubung tindakan yang diambil kerajaan negeri dalam isu PPR Taman Manggis dan pengusiran penduduk di Tanah Wakaf Abdul Cauder, Bukit Mertajam.
Tambah beliau, kerajaan negeri dalam kedua-dua kes itu mengambil tindakan yang disifatkan menjurus kepada kezaliman apabila menggunakan kekerasan serta tanpa belas kasihan.
Ujarnya, kerajaan negeri sepatutnya turut mengambil kira situasi yang dihadapi penduduk terlibat apatah lagi kebanyakan mereka adalah penduduk miskin yang memerlukan bantuan.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi terutama di pulau, bagaimana penduduk ini mahu meneruskan kehidupan selepas dihalau dengan cara begini,” katanya.
Tambah beliau, isu pengusiran penduduk PPR Taman Manggis juga mencerminkan kegagalan kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik sejak mentadbir negeri ini 10 tahun lalu. – UTUSAN ONLINE











