PASIR GUDANG 19 Mac – Insiden sekumpulan pengamal media ‘dihalau’ daripada membuat liputan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah di sini, pagi tadi berpunca daripada salah faham.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, perkara itu berlaku semasa majlis penyerahan bantuan bencana oleh pihak Majlis Daerah Tangkak di bangunan tersebut.
Menurutnya, semasa majlis berlangsung, keadaan menjadi sedikit sesak hingga pegawai bertugas terpaksa mengarahkan pekarangan yang menjadi tempat media berkumpul itu dikosongkan.
“Bagaimanapun, pihak pengurusan tertinggi PKOB telah membenarkan pengamal media masuk semula ke menara tersebut untuk menjalankan tugasan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Jelas beliau, pihak kerajaan negeri memohon maaf atas segala bentuk salah faham yang berlaku dan berharap agar rakan media dapat terus membuat liputan serta melaporkan perkembangan terkini berhubung isu pencemaran toksik itu.
“Diingatkan juga pihak media untuk memakai pas media untuk membuat liputan di kawasan PKOB memandangkan ia adalah kawasan larangan awam,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










