Icardi tuntut Inter hormatinya - Utusan Malaysia

Icardi tuntut Inter hormatinya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILAN 1 Mac – Mauro Icardi akhirnya menyuarakan hasratnya menuntut Inter Milan untuk lebih ‘menghormatinya’ dan menegaskan bahawa dia sentiasa meletakkan kepentingan kelab sebagai keutamaan.

Pemain berusia 26 tahun itu tidak beraksi bersama skuad Luciano Spalletti sejak digugurkan daripada tanggungjawab sebagai kapten, Februari lalu dan sekali lagi disisihkan bagi aksi menentang Cagliari.

Bintang Argentina itu mengadu mengalami kecederaan lutut tetapi pasukan perubatan gagal mengesan masalah yang dihadapinya selepas menjalankan beberapa siri ujian, minggu lalu.

Dia dikaitkan dengan perpindahan dari San Siro walaupun isterinya yang juga ejen kepadanya, Wanda Nara menegaskan Icardi gembira untuk terus bersama Inter.

Icardi menggunakan Instagram untuk meluahkan segala ‘pengorbanannya’ untuk kelab dan menyuarakan kebimbangannya terhadap pegawai-pegawai senior yang tidak begitu menghormatinya.

“Dalam keadaan yang sukar, perasaan sayang akan ditunjukkan. Dalam situasi itu saya memutuskan untuk bersama Inter.

“Saya menolak tawaran yang sukar ditolak kebanyakan pemain lain terutama dalam situasi seperti ini.

“Saya beraksi dalam keadaan sakit sehingga membuatkan saya menangis selepas perlawanan tetapi saya tetap masuk ke padang untuk bermain walaupun terpaksa menentang keputusan pasukan perubatan.

“Saya lakukan semua itu kerana saya mampu lupakan segala kesakitan semasa di dalam padang dan jaringan gol dapat membantu pasukan ini.

“Di Inter, bersama Inter. Demi kasih sayang kepada Nerazzurri kerana hanya ada satu Inter,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN