KUALA LUMPUR 28 Feb. – Kecekalan seorang ibu tunggal yang menghidap kanser rahim tahap empat menyara tiga anaknya dengan menjual kuih muih meruntun jiwa ramai pihak.
Kisah Idayu Mohamad, 44, mendapat perhatian ramai berikutan kisahnya disiarkan di laman media sosial memperlihatkan dia berniaga dengan tiub saluran susu yang terpasang di hidungnya.
Katanya, dia tidak pernah meminta simpati orang ramai namun selepas penularan tentang dirinya itu, ramai yang menghulurkan bantuan.
“Saya cukup terharu kerana saya tidak pernah meminta-minta dan akan berusaha selagi mampu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menceritakan detik awal apabila disahkan menghidap kanser pada 13 Februari 2017, sebelum itu dia kerap pengsan.
Katanya, atas nasihat doktor dia membuat pemeriksaan pap smear.
“Dalam tempoh itu, saya hanya minum susu.
“Doktor memaklumkan kanser itu semakin membesar sehingga menolak usus perut,’’ katanya yang mempunyai berat badan 29 kilogram (kg) berbanding 46 kg sebelum ini.
Ujarnya, dia tidak mahu hanya berbaring tanpa berbuat apa-apa dan menjadikan memasak sebagai terapi untuk melawan kanser berkenaan.
“Saya merupakan antara ahli grup Masak Apa Hari Ni (MAHN) di Facebook dan gembira melihat rakan-rakan berkongsi resepi. Saya berniaga kuih menggunakan resepi arwah nenek.
“Saya sangat tertekan sebelum ini selepas dicerai suami, dihalau dari rumah ibu saudara, pernah tidur di dalam stor di sebuah pasar ketika anak-anak masih kecil. Sekarang, saya sudah tidak peduli dengan perkara negatif dan mahu kekal positif,” ujarnya yang menyewa di Projek Perumahan Rakyat Salak Selatan sejak 2014 dan mendapat bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Baitulmal.










