KANGAR 4 Mac – Entah ke mana hilangnya sifat kasih seorang ibu apabila tergamak meninggalkan anaknya seorang diri dalam sebuah rumah yang berkunci sejak Jumaat lalu.
Semasa ditinggalkan di rumah berkenaan di Taman Hijrah di sini, tidak dapat dipastikan bagaimana kanak-kanak perempuan comel berusia tujuh tahun itu mengurus dirinya termasuk makan dan minum.

Mujurlah tangisan insan yang tidak berdosa itu didengari oleh jiran-jirannya lalu segera memberi makanan dan minuman melalui tingkap rumah selama dua hari berturut-turut, sebelum akhirnya melaporkan perkara berkenaan kepada polis, semalam.
Seorang penduduk yang enggan namanya didedahkan berkata, dia kasihan melihat keadaan kanak-kanak itu dan memberikannya makanan serta minuman melalui tingkap sahaja disebabkan pintu rumah dikunci dengan mangga.
“Ibu kanak-kanak itu jarang bergaul dengan jiran dan kami juga tidak berapa tahu mengenainya. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang ibu boleh meninggalkan anaknya yang masih kecil berseorangan diri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, susulan daripada tersebut, pihaknya telah menahan seorang wanita berumur 31 tahun dipercayai ibu kanak-kanak berkenaan bagi membantu siasatan dan kemudian membebaskannya dengan jaminan polis hari ini.
“Difahamkan ibu bapa kepada kanak-kanak itu sudah bercerai dan wanita tersebut yang bekerja sebagai kontraktor meninggalkan anakya seorang diri dengan mengunci pintu rumah tanpa meninggalkan makanan.
“Jiran-jiran yang terdengar kanak-kanak itu menangis cuba memujuknya dan memberikannya makan setiap hari melalui tingkap rumah berkenaan.
“Bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini, penduduk melaporkan perkara tersebut kepada polis bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Noor Mushar, ketika tiba di rumah berkenaan, anggota polis terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan berikutan pintu jeriji di kediaman tersebut dikunci.
“Kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.











