Hina Islam: Nasihat Mufti Perlis kepada masyarakat bukan Islam - Utusan Malaysia

Hina Islam: Nasihat Mufti Perlis kepada masyarakat bukan Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Mac – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin hari ini meminta masyarakat bukan Islam agar saling berpesan kepada rakan-rakan untuk beradap dan mengawal tingkah laku.

Nasihat itu disampaikan berikutan masih terdapat hantaran di media sosial yang menghina Islam dilakukan oleh segelintir masyarakat bukan Islam.
 
Mohd. Asri mendakwa, hantaran yang menghina Islam di media sosial kini bukan lagi merupakan kes terpencil tetapi telah menjadi satu trend seolah-olah ingin membakar kemarahan umat Islam di Malaysia.
 
Berikut tulisan penuh Mohd. Asri di Facebook beliau hari ini:
 
Jangan sampai yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran.
 
Nampaknya, masih ada lagi posting-posting yang jelas menghina Islam oleh bukan-muslim. Ertinya, hal ini seperti ingin dijadikan trend oleh sesetengah pihak. Ia bukan lagi kes terpencil.
 
Ia seperti satu kehendak yang terpendam yang cuba membakar kemarahan umat Islam dalam negara ini.
 
Kepada saudara-saudara non-muslim, sekalipun masyarakat muslim di negara ini ada kelemahannya, namun tahap toleransi dan kesudian berkongsi amatlah baik jika dibandingkan nasib umat Islam minoriti di India, China dan juga di negara-negara lain yang berdekatan.
 
Janganlah saudara-saudara cemari nikmat dan kelebihan hidup harmoni dalam negara ini yang kita kecapi selama ini.
 
Saudara-saudari non-muslim, berpesan-pesanlah kepada sahabat handai saudara-saudari sekalian agar beradab dan tahu mengawal tingkah laku hidup bernegara di Malaysia ini.
 
Jangan kerana sikap biadap dan dendam kesumat maka saudara-saudari membakar negara aman yang telah lama kita bina.
 
Jangan sampai yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran. Orang muslim itu masih sabar jika dihina dirinya dan keluarganya tetapi mereka tidak akan bersabar lagi jika dihina Islam dan RasulNya.
 
Sayangi dan hargailah nikmat keamanan yang kita miliki. Pohon memahami keadaan.-UTUSAN ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN