KUALA LUMPUR 1 Mac – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memberi tumpuan terhadap pemerkasaan dua teras utama di bawahnya iaitu bidang keusahawanan dan pendidikan dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan institusi itu.
Pengerusinya, Dr. Hasnita Hashim berkata, di bawah bidang pendidikan, antara yang akan diberi perhatian adalah pemerkasaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“Kita akan lihat semula kurikulum, latihan tenaga pengajar dan cara pembelajaran di institusi pendidikan kita. Perlu pastikan tenaga pengajar dapat mendidik pelajar untuk jadi seorang tenaga kerja yang kreatif, inovatif dan berdaya tahan. “Untuk UniKL pula kita akan lihat semua bidang pengajian. Mungkin perlu dikurangkan untuk memastikan kualiti terhadap satu-satu bidang itu memuaskan.
“Kita juga akan menggalakkan penglibatan pelajar di Institut Perindustrian Mara-Jepun (MJII) dan German-Malaysian Institute (GMI) dalam memastikan pelajar kita mendapat lebih pendedahan dari luar,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Ramah Mesra Pengerusi Mara Bersama Media, di sini hari ini.
Sementara itu, Hasnita berkata, dalam bidang keusahawanan, Mara akan mengetatkan syarat pinjaman usahawan bumiputera yang mahu memulakan perniagaan sebagai salah satu langkah untuk menghadapi keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.
“Usahawan baharu yang memohon dana Mara perlu ada pengalaman dahulu, tidak boleh lepas belajar terus mahu jadi usahawan.
“Contohnya jika mahu ceburkan diri dalam bidang makanan dan minuman, perlu bekerja dalam bidang itu untuk tahu selok-belok sebelum memohon dengan Mara,” katanya.











