KUALA LUMPUR 9 Mac – Harapan besar Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai untuk melangkah ke final kejohanan badminton tertua di dunia, All England tidak kesampaian selepas terkandas pada separuh akhir di Birmingham, sebentar tadi.
Selepas cemerlang mengejutkan pilihan kedua, Wang Yilyu-Huang Dongping dari China pada suku akhir semalam, beregu campuran negara itu bagaimanapun akur dengan kehebatan juara bertahan yang juga pasangan No. 3 dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.
Soon Huat-Shevon tunduk 16-21, 13-21 hanya dalam masa 37 minit.
Dengan kekalahan itu, harapan negara kini terletak sepenuhnya kepada beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan turun beraksi dalam separuh akhir awal pagi ini.
Pasangan No. 1 negara itu akan menentang pilihan kelapan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Semalam Fajar-Rian mara selepas mengecewakan satu lagi pasangan Malaysia yang juga naib juara Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong 22-20, 21-12. – UTUSAN ONLINE











