LONDON 17 – Pep Guardiola memohon kepada Swansea selepas Manchester City terselamat daripada penggunaan video bantuan pengadil (VAR).
City berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum melakar kemenangan penuh dramatik dan kontroversi menewaskan Swansea 3-2 dalam aksi suku akhir Piala FA.
Bagaimanapun, kemenangan tersebut dibayangi dengan VAR selepas gol tandukan Sergio Aguero dipercayai berada dalam kedudukan ofsaid.
Stadium Liberty memiliki kelengkapan VAR namun memandangkan Swansea beraksi di Liga Kejuaraan menyebabkan teknologi tersebut tidak digunakan.
“Jika bukan penalti dan bola berada dalam keadaan ofsaid seperti yang diperkatakan, saya memohon maaf. Mereka meminta semua kelab menggunakan VAR di seluruh Eropah namun teknologi itu tiada di sini.
“Saya tidak suka kalah dalam perlawanan disebabkan keputusan yang salah namun pengadil juga tidak mahu membuat kesilapan namun mereka harus dibantu.
“Kami sememangnya layak memenangi perlawanan ini namun memenangi dengan cara seperti itu, saya minta maaf,” kata Guardiola. – AGENSI











