Guan Eng dakwa Najib alih isu jual Bangunan Malaysia dengan projek terowong dasar luat - Utusan Malaysia

Guan Eng dakwa Najib alih isu jual Bangunan Malaysia dengan projek terowong dasar luat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 27 Mac – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa cuba mengelak daripada menjawab persoalan berhubung keputusan kerajaan terdahulu untuk menjual tanah dan melupuskan Bangunan Malaysia di Hong Kong yang dibuat secara rundingan terus dan bukannya secara tender terbuka.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebaliknya Najib yang juga bekas Menteri Kewangan cuba mengalihkan perhatian isu itu dengan mempersoalkan sama ada projek terowong bawah dasar laut di Pulau Pinang juga dijalankan secara tender terbuka.

“Perlu ditegaskan adalah projek terowong bawah dasar laut dijalankan secara tender terbuka selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin Pakatan Harapan (PH).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hakikatnya keputusan untuk menjual tanah dan melupuskan Bangunan Malaysia di Hong Kong yang juga merupakan Bangunan Pejabat Konsulat Malaysia dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri kerajaan terdahulu disebabkan kerana kos membaik pulihnya terlalu tinggi sehingga mencecah RM300 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dedah Guan Eng lagi, kerajaan terdahulu memutuskan untuk menjual tanah dan bangunan tersebut secara rundingan terus kepada sebuah syarikat dengan harga RM1.1 Bilion menerusi satu surat tawaran dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sebelum tarikh 9 Mei 2018.

Tambahnya, selepas perubahan kerajaan, pihak kementerian telah menerima beberapa tawaran lain pada nilai lebih tinggi iaitu RM1.6 Bilion berbanding dengan harga yang ditawarkan oleh kerajaan terdahulu melalui kaedah rundingan terus.

“Oleh itu, Kementerian Kewangan dengan kelulusan Kabinet telah memutuskan supaya penjualan tanah dan bangunan ini tidak dilakukan secara rundingan terus, sebaliknya secara tender terbuka.

“Proses berkenaan akan dilakukan dengan cara tersebut untuk memastikan kerajaan mendapat nilai terbaik selaras dengan komitmen kerajaan dalam menjalankan pentadbiran berpandukan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) untuk memastikan kebajikan rakyat dipelihara dengan sebaiknya dalam setiap keadaan,” katanya.

Ujar Guan Eng, proses tender terbuka sedang berjalan dan pihaknya yakin ia akan dapat memberikan hasil bersesuaian dengan nilai sebenar hartanah tersebut sekali gus dapat memberikan penjimatan terhadap perbelanjaan kewangan kerajaan.

“Kini tiba masanya bekas Menteri Kewangan untuk jelaskan mengapa beliau bersetuju dengan penjualan tanah dan bangunan tersebut secara rundingan terus dengan harga yang begitu rendah sebanyak RM1.1 bilion berbanding dengan harga tawaran lain iaitu setinggi RM1.6 bilion,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini