KUALA LUMPUR 15 Mac – Menyamar sebagai pelanggan, menyorokkan diri di bawah meja minuman dan cuba meloloskan diri dengan merempuh pegawai penguat kuasa yang menjaga pintu belakang premis.
Itu tindakan yang dilakukan beberapa wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) selepas sepasukan pegawai daripada Unit Operasi Khas Jabatan Imigresen Putrajaya menyerbu sebuah kelab malam di Klang, Selangor, semalam.
Hasil serbuan, sebanyak 20 wanita warga asing yang terdiri daripada 16 warga Vietnam, tiga warga Thailand dan seorang warga Myanmar berusia antara 20 dan 45 tahun ditahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, risikan awal mendapati pusat hiburan yang beroperasi di premis tiga tingkat berkenaan menggunakan wanita warga asing sebagai GRO untuk menarik pelanggan.
Menurutnya, papan tanda dan sekitar premis juga beroperasi dalam keadaan gelap bagi menggelakkan diri dari pandangan pihak penguat kuasa.
“GRO di premis hiburan itu menghidangkan minuman keras dan turut diberikan tip sebanyak 15 peratus daripada setiap jualan minuman keras. Selain itu, mereka juga mendapat tip bermula dari RM10 hingga RM300 daripada aktiviti kalungan bunga dengan menyanyi atau menari di atas pentas.
“Hasilnya, setiap wanita GRO ini dipercayai mampu mengaut keuntungan ratusan ringgit setiap malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujar Khairul Dzaimee, pihaknya turut menahan dua lelaki warga Bangladesh dan enam warga tempatan termasuk dua wanita kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kelab malam yang beroperasi tanpa lesen sah tersebut.
“Selain itu, sebuah kenderaan dan wang tunai sebanyak RM1,045 turut disita dan dirampas.
“Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan warga asing dihantar ke Depot Tahanan Semenyih untuk tindakan lanjut,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











