Glaukoma pencuri penglihatan - Utusan Malaysia

Glaukoma pencuri penglihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Glaukoma adalah penyakit yang dikaitkan dengan peningkatan tekanan intraokular (tekanan dalam mata) dan boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada saraf optik serta gangguan penglihatan, seterusnya boleh menyebabkan pesakit buta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penyakit ini adalah penyebab utama kebutaan kekal di seluruh dunia malah dianggarkan terdapat 60 juta penduduk dunia mengalami glaukoma yang mana 8.4 juta daripadanya telah menjadi buta.

Mereka yang berisiko menghidap glaukoma antaranya individu berusia lebih 40 tahun, mempunyai ahli keluarga yang menghidap glaukoma, penghidap diabetes mellitus, sakit kepala (migrain), tekanan darah tinggi dan berketurunan Afrika, Latin atau Asia selain individu yang mengalami masalah obstructive sleep apnea.

Golongan yang turut berhadapan dengan risiko ini ialah mereka yang mempunyai tekanan mata yang tinggi, masalah rabun (jauh atau dekat), sejarah kecederaan mata, pengguna ubatan steroid dalam tempoh yang lama, mempunyai lapisan kornea yang nipis sekain mempunyai saraf optik yang nipis.

Glaukoma terbahagi kepada tiga jenis iaitu glaukoma sudut terbuka, glaukoma sudut tertutup dan glaukoma kongenital. Glaukoma sudut terbuka tidak mempunyai gejala jelas pada peringkat awal malah kebanyakan pesakit tidak mengalami sebarang simptom langsung di peringkat ini.

Segelintir pesakit dikesan mempunyai penyakit tersebut secara kebetulan iaitu apabila membuat pemeriksaan mata secara rutin. Pada peringkat awal, medan penglihatan adalah normal namun berlaku kemerosotan secara perlahan-lahan dan progresif. Akhirnya berlaku penyempitan pada medan penglihatan sehingga boleh menjadi buta.

Glaukoma sudut tertutup pula ialah sakit pada bola mata secara tiba-tiba dan berterusan. Mata menjadi merah, kornea kelihatan tidak jernih, merasa mual dan boleh juga diiringi dengan muntah-muntah. Glaukoma kongenital pula berlaku apabila saiz kornea lebih besar daripada normal, kornea tidak jernih dan sangat sensitif terhadap cahaya. Jika berlaku pada bayi, mata mereka sentiasa berair, sering menggosok mata dan bahagian mata berwarna putih menjadi merah.

Tinjauan Mata Kebangsaan 2014 (National Eye Survey II) mendapati glaukoma adalah penyebab kebutaan yang ketiga tertinggi (tujuh peratus) di Malaysia selepas katarak (58 peratus) dan diabetik retinopati (10 peratus).

Penghidap perlu menjalani rawatan glaukoma bagi memelihara fungsi penglihatan sepanjang hayat tanpa menjejaskan kualiti kehidupan. Dari segi prinsip rawatan glaukoma yang diguna pakai pada masa kini ialah merendahkan atau mengawal tekanan intraokular melalui ubat (ubat titis atau sistemik), rawatan laser, pembedahan atau kombinasi rawatan untuk mencegah glaukoma menjadi lebih teruk.

Rawatan ubat antiglaukoma pula adalah pilihan awal kepada pesakit melalui pemberian pelbagai jenis ubat.

Kriteria untuk memulakan rawatan glaukoma terbahagi kepada faktor pesakit seperti tahap glaukoma, umur, faktor risiko dan tahap kepatuhan kepada rawatan (compliance). Rawatan laser pula dilakukan setelah rawatan permulaan dengan ubat antiglaukoma tidak mencukupi untuk mengawal tekanan intraokular. Terdapat beberapa jenis rawatan laser untuk glaukoma dan hanya dilaksanakan mengikut indikasi tertentu.

Pembedahan glaukoma hanya akan dijalankan sekiranya tekanan intraokular tidak dapat dikawal setelah penggunaan maksimum ubat antiglaukoma.

Mereka yang menghidap glaukoma perlu akur pada pematuhan rawatan (compliance) melaluipengambilan ubat dengan betul dan teratur, bekalan ubat sentiasa mencukupi dan pastikan hadir untuk pemeriksaan doktor secara berkala mengikut temu janji ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN