Gaza ‘diabaikan’ genap setahun protes - Utusan Malaysia

Gaza ‘diabaikan’ genap setahun protes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pertubuhan perubatan kemanusiaan antarabangsa, Doctors Without Borders (MSF) mendedahkan, penduduk Gaza ‘diabaikan’ genap setahun protes Great March of Return diadakan ketika ribuan penduduk Palestin berhimpun di sempadan bagi memperingati gerakan itu, hari ini.

Menurut tentera Israel, hampir 5,500 penunjuk perasaan berhimpun di beberapa lokasi di sepanjang sempadan sambil membakar tayar dan melontar batu ke arah askar rejim.

Seorang lelaki Palestin dilapor ditembak mati tentera rejim walaupun Mesir menaja perjanjian damai antara pergerakan Hamas-Israel menjelang pilihan raya umum Israel bulan depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lapor al-Jazeera, ketika penduduk Palestin memperingati ulang tahun pertama protes berkenaan hari ini, MSF melahirkan kebimbangan berhubung ribuan penduduk Gaza yang tercedera akibat ditembak tentera rejim Zionis.

‘SERAH NASIB 
kePADA TAKDIR’

Menurut MSF, Gaza ‘diabaikan sepenuhnya’ sejak setahun lalu dan lebih 6,500 orang ditembak oleh rejim Zionis ketika protes menyebabkan penduduk Palestin hanya menyerahkan nasib mereka kepada takdir.

Seorang mangsa rejim Zio­nis, Imad Hassan Khalifa, 22, menceritakan kembali sebab dia mula menyertai protes tersebut pada setiap minggu walaupun ditembak di bahagian kaki, Oktober lalu.

“Saya menyertai semua demonstrasi. Hidup, keadaan ekonomi dan tekanan telah menyebabkan saya serta golo­ngan muda lain untuk menyertai demonstrasi meskipun apa jua mendatang,” katanya.

Kata Imad Hassan, dia ke Mesir untuk mendapatkan rawatan tetapi diberitahu oleh doktor proses pemulihan memakan masa yang lama mengakibatkannya mendapatkan rawatan dari klinik MSF di Gaza untuk menjalani fisioterapi dan menukar balutan lukanya.

GAZA TIADA KAPASITI RAWAT MANGSA

MSF memberitahu, Gaza tidak mempunyai kapasiti untuk merawat kesemua pesakit yang cedera dan majoritinya me­ngalami luka di bahagian kaki.

“Ini bukannya luka yang mudah dijahit. Ketulan besar daging pada kaki telah rosak dan tulang di dalamnya hancur.

“Kita berada dalam situasi di mana sistem kesihatan tidak mencukupi untuk merawat semua pesakit, meskipun MSF melakukan segala yang termampu,” kata penyelaras MSF di Gaza, Carla Melki.

Menurut pegawai kesihatan di Gaza, lebih 250 penduduk Palestin terbunuh sejak protes terbabit bermula tahun lalu.

NELAYAN PALESTIN DISERANG TENTERA REJIM

Dalam perkembangan berkaitan, tentera laut Israel melancarkan serangan bertalu-talu terhadap bot nelayan Palestin di luar pesisiran pantai selatan Tebing Gaza semalam.

Lapor Ma’an News, kejadian itu berlaku dalam zon perikanan yang dibenarkan berdekatan Khan Younis, menyebabkan nelayan tersebut terpaksa berpatah balik ke pantai kerana bimbang akan ke­selamatan mereka.

Ujar Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), sekatan Israel itu menyebabkan nelayan Gaza sukar untuk menangkap ikan di laut.

Selain itu, kumpulan hak asasi manusia Israel, B’Tselem baru-baru ini mendedahkan tindakan rejim Zionis tersebut menjejaskan sektor perikanan Gaza, dengan 95 peratus nelayan hidup dalam kemiskinan.

BEKALAN ELEKTRIK 
GAZA TERPUTUS

Dalam perkembangan berlainan, sebahagian besar kawasan di Tebing Gaza terputus bekalan elektrik sejak awal pagi semalam selepas berlaku kerosakan pada mesin jana kuasa kedua.

Syarikat Bekalan Elektrik di Gaza mengesahkan mesin jana kuasa kedua berhenti berope­rasi secara tiba-tiba pada pukul 4 pagi waktu tempatan, sekali gus mengakibatkan ribuan penduduk Gaza ‘bertarung’ dengan cuaca sejuk tanpa sebarang alat pemanas.

Antara kawasan yang terjejas ialah Gaza City, tengah Gaza, Khan Younis dan Rafah di selatan Gaza.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini