MILAN 3 Mac – Gennaro Gattuso menggesa AC Milan untuk menampilkan aksi lebih baik meskipun mereka berjaya meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Serie A dan kini menghuni kedudukan ketiga liga.
Milan berjaya mengatasi seteru setempatnya, Inter Milan hasil kemenangan 1-0 ke atas Sassuolo menerusi jaringan sendiri Pol Lirola.
Harapan Sassuolo untuk bangkit dalam perlawanan itu tidak kesampaian selepas penjaga gol, Andrea Consigli diarah keluar padang selepas menjatuhkan Krzysztof Piatek.
The Rossoneri kini memiliki rekod sembilan perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan dan berada di landasan terbaik untuk ke final Coppa Italia selepas seri tanpa jaringan dalam aksi pertama menentang Lazio di tempat lawan namun Gattuso percaya, skuad kendaliannya boleh beraksi lebih baik.
“Saya terima keputusan positif menentang Empoli, Lazio dan Sassuolo tetapi kami perlu lakukan lebih baik daripada ini.
“Saya tidak mahu cakap mengenai penat, saya cuba untuk faham kenapa kami tidak begitu tangkas sejak kebelakangan ini.
“Kami bergelut dengan pasukan yang cukup tersusun, pertahanannya bagis tetapi kami boleh beraksi lebih baik apabila memiliki bola.
“Kami hanya bermain dengan baik dari segi pertahanan tetapi tidak terurus dari segi kawalan bola. Sassuolo wajar diberikan pujian dari segi hantaran bola kemas dan memaksa kami untuk bekerja keras,” katanya.-AGENSI











