SETIU 9 Mac – Sejak 14 tahun menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Pak Kancil Dalam di sini, keluarga murid orang kurang upaya (OKU), Muhamad Hisham Ismail tidak pernah berpeluang mengindahkan kediaman mereka.
Kesempitan hidup membuatkan ibu-bapa murid itu, Nor Seri Idayu Mahamed, 32, dan Ismail Setapa, 36, terpaksa melupakan seketika hasrat untuk mengecat rumah mereka mahu pun menukar sebarang kelengkapan yang uzur.
Namun, kini mereka boleh menarik nafas lega kerana impian untuk melihat rumah yang dicat baharu menjadi kenyataan menerusi sumbangan gabungan pengamal media Terengganu dengan dibantu 36 sukarelawan Kor Asas Kewartawanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Menurut Nor Seri Idayu, kos menaik taraf rumah membabitkan perbelanjaan besar dan di luar kemampuan suaminya yang cuma bekerja kampung dengan pendapatan tidak tetap setiap bulan.
“Saya pernah ada angan-angan nak rumah yang comel (cantik) tetapi, kalau ada sedikit duit saya dan suami tidak akan buat lagi kerana mahu mengutamakan duit itu untuk pelajaran anak-anak.
“Terima kasih kepada gabungan media Terengganu dan adik-adik UniSZA atas sumbangan yang tidak disangka-sangka ini, comel lah rumah saya apabila Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Yang hadir sama, Presiden Pertubuhan Karyawan Kreatif Darul Iman (Karyawan Kreatif), Nik Mohd. Zaid Nik Salim dan Timbalan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat), Ahmad Syafri Husnaini Mohamad.
Baru-baru ini, Muhamad Hisham, 11, menerima anugerah Unsung Hero daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin selepas kisahnya menyuap adik perempuannya, Nur Dina, 7, makan ketika di kantin sekolah tular dan mendapat perhatian ramai.
Kasih sayang sejati murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Putera Jaya itu terhadap adiknya turut mendorong anak kedua daripada empat beradik tersebut berkongsi makanan dan minuman yang diperoleh daripada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) pada setiap hari.
Sementara itu, wakil media, Nik Mohd. Zaid berkata, program julung kali kedua-dua pertubuhan itu diharap dapat menceriakan kehidupan keluarga Muhamad Hisham sekali gus menyuburkan lagi kasih sayang di antara mereka.
Katanya, selain mengecat bahagian luar dan dalam rumah, keluarga murid berkenaan turut menerima tikar getah baharu, perabot, barangan makanan dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan hampir RM3,000 hasil sumbangan pengamal media di negeri ini.
“Walaupun keluarga ini serba kekurangan tetapi mereka kaya dengan kasih sayang, semoga dengan sumbangan kecil kami ini dapat menambahkan lagi kasih sayang mereka dan menyuntik semangat kepada anak-anak untuk maju dalam pelajaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE











