KUALA LUMPUR – Sime Darby Auto Connexion (SDAC) mengumumkan penguasaan pasaran Ford Ranger dalam segmen pikap melonjak kepada 20.5 peratus pada Januari lalu, disumbangkan prestasi jualan memberangsangkan bagi rangkaian model Ranger iaitu sebanyak 590 unit.
Ia merupakan lonjakan 7.7 peratus pegangan pasaran berbanding bulan sebelumnya.
SDAC merupakan pengedar tunggal bagi jenama Ford di Malaysia.
Pengarah Urusan SDAC, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, rekod jualan tersebut membuktikan permintaan yang semakin meningkat bagi model Ford Ranger di negara ini.
“Lonjakan dalam penjualan rangkaian Ranger turut disokong dengan pelancaran model terbaharu kami, yang mana ia ditawarkan dalam sembilan varian berbeza.
“Ia turut disempurnakan dengan ciri-ciri keselamatan yang pertama kali diperkenalkan dalam kelasnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.
Barisan varian Ranger baharu terdiri daripada model XL, XLT, XLT Plus, Wildtrak dan Ranger Raptor yang direka khusus bagi memenuhi kesemua segmen pasaran.
Ranger Raptor yang merupakan model pikap premium berprestasi tinggi turut membuka lembaran baharu dalam pasaran pikap di negara ini.











