Foodbank bukan ‘one off’ - Saifuddin - Utusan Malaysia

Foodbank bukan ‘one off’ – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 19 Mac – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, Program Foodbank Malaysia bukanlah satu program secara ‘one off’ tetapi dijalankan secara berterusan.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan menoleh belakang lagi dan akan terus menggerakkan program berkenaan dalam usaha memberi impak kepada kehidupan golongan sasar termasuk mahasiswa di universiti-universiti awam.

“Alhamdulillah kita menghargai rakan-rakan media yang mengangkat isu anak-anak siswa kita bergelut dengan masalah kewangan terutama dari keluarga berpendapatan rendah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini telah menarik tumpuan kita untuk mengembangkan Foodbank untuk sampai ke kampus dan kita akan teruskannya,” katanya ketika berucap melancarkan Aplikasi mudah alih Price Catcher di sini hari ini.

Saifuddin menambah, program berkenaan juga telah pun lengkap dengan keupayaan logistik, penaja, sukarelawan dan penerima yang telah dikenal pasti.

“Sehubungan itu tidak boleh toleh ke belakang lagi. Kita sudah ada logistik, sukarelawan dan penerima,” katanya.

Semalam, beliau mengumumkan bahawa kementerian telah memutuskan untuk memperluaskan program Foodbank Malaysia susulan isu golongan mahasiswa mengikat perut seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini melaporkan tentang perit-jerih golongan mahasiswa di Universiti Malaya (UM) yang terpaksa menahan lapar akibat kekangan kewangan.

Pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) itu dilaporkan terpaksa berjimat cermat demi meneruskan pengajian masing-masing. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini