KUALA LUMPUR – Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2019 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) diunjur merekodkan pelaburan francais sebanyak RM500 juta berbanding RM410 juta yang dicatatkan pada 2018.
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd. Aziz berkata, penganjuran kali ini bakal disertai lebih 100 syarikat francais tempatan dan antarabangsa dari 12 buah negara antaranya Amerika Syarikat, Itali, Australia, United Kingdom, Korea Selatan, China, Thailand, Turki dan Singapura.
Katanya, FIM anjuran buat kali ke-26 itu bakal diadakan pada 5 hingga 7 April depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan dijangka menarik lebih 12,000 pengunjung.
“Kami melihat FIM sebagai platform yang terbaik bagi syarikat francais tempatan untuk melangkah ke hadapan dalam meneroka pasaran luar berpotensi, khususnya dengan memanfaatkan sesi padanan perniagaan yang turut dirangkumkan dalam acara ini.
“Melalui penganjuran FIM, kami menempatkan usahawan francais tempatan dan antarabangsa, agensi kerajaan serta institusi kewangan di bawah satu bumbung bagi mempamerkan produk dan perkhidmatan selain peluang perniagaan francais dalam pelbagai sektor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Taklimat Pempamer FIM 2019, di KLCC di sini semalam.
FIM 2019 diiktiraf dan disokong sepenuhnya oleh badan francais antarabangsa seperti Badan Francais Dunia (WFC), Konfederasi Francais Asia Pasifik (APFC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Turut hadir Pengerusi MFA, Datuk Radzali Hassan.
Dalam pada itu, menurut Radzali, industri francais negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan dan MFA menyasarkan sebanyak 80 syarikat francais tempatan akan menempatkan jenama mereka ke pasaran luar negara dalam tempoh dua tahun ini.
Setakat ini, sebanyak 66 syarikat tempatan telah menempatkan jenama mereka ke 65 buah negara.











