Elaun nelayan RM300 - Utusan Malaysia

Elaun nelayan RM300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 8 Mac – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berusaha menambah elaun sara hidup nelayan daripada RM200 kepada RM300 jika kewangan kerajaan meng­izinkan tahun depan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, peningkatan elaun sara hidup itu hanya akan dilakukan sekiranya ekonomi negara pulih dan bertambah baik dan beliau akan terus memperjuangkan elaun sara hidup nelayan agar dinaikkan.

“Jika ekonomi pulih tahun depan, saya usahakan untuk beri elaun sara hidup nelayan RM300 sebulan,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program pelepasan 20,000 benih ketam renjung di Jeti Pengkalan Penghulu Mukim Serkat di sini hari ini.

Program tersebut merupakan kerjasama strategik Internatio­nal Institute of Aquatic Sciences (I-Aquas) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi dan Pengarah Jabatan Perikanan Johor, Za­mani Omar.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, kementerian akan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Perikanan bagi mewujudkan pas nelayan sementara.

Menurutnya, pengenalan pas itu bertujuan membantu mereka yang aktif ke laut menangkap ikan sebagai sumber pendapatan namun tidak mempunyai lesen nelayan atas faktor tertentu.

“Walau bagaimanapun, mereka yang memiliki pas sementara tidak akan memperoleh keistimewaan seperti nelayan yang memiliki lesen. Mereka tidak mendapat elaun sara hidup dan subsidi petrol,” katanya.

Mengulas mengenai benih ketam renjung yang dilepaskan, beliau berkata hasilnya dijangka dapat dituai dalam tempoh empat atau lima bulan lagi.

Mengikut data pendaratan ketam renjung di Johor adalah sebanyak 1,800 tan metrik setahun di mana kebanyakannya dinaikkan di Johor Barat dan Pontian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini