Eksesais serentak sempena Hari Tentera Darat Ke-86 - Utusan Malaysia

Eksesais serentak sempena Hari Tentera Darat Ke-86

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT 1 Mac – Dua Eksesais Satria Perkasa dilancarkan secara serentak di Medan Barat dan Medan Timur dengan kos keseluruhan berjumlah RM10 juta bersempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-86, pada tahun ini.

Eksesais menguji keupayaan formasi dan pasukan termasuk keberkesanan penyatuan operasi, antara lain menilai kemampuan tentera darat dalam mengatur gerak kumpulan Briged Infantri sekali gus melaksanakan latihan secara sistematik.

Eksesais tersebut yang bermula hari ini di kawasan Sungai Siput-Gerik bagi Medan Barat dan Kuching, Sarawak untuk Medan Timur, bakal berlangsung sehingga 11 Mac ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, eksesais itu telah lama dirancangnya bagi menguji keberkesanan ketumbukan serta tahap kesiapsiagaan dan latihan yang telah diberikan kepada tentera darat.

“Kita juga ingin melihat sejauh mana kelengkapan yang telah diberikan, diguna pakai dengan elok. Saya mengatakan ini sebab saya hendak buktikan bahawa tentera ini kerjanya berlatih.

“Dari segi kosnya memang mahal tetapi berbaloi kerana dari segi keselamatan, saya rasa ia tidak boleh dinilai,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Perbarisan Tempur Hari Tentera Darat Ke-86 yang buat julung kalinya di Ladang Kamuning Sime Darby di sini hari ini.

Perbarisan disertai tujuh detasemen terdiri daripada 149 pegawai dan 1,943 anggota lain-lain pangkat itu diketuai oleh Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail.

Selain acara perbarisan dan pertunjukan demonstrasi, Ahmad Hasbullah turut menyempurnakan pemakaian pangkat pegawai kanan serta melancarkan buku ‘Dari Meja Panglima Tentera Darat’.

Beliau turut mengadakan ‘persidangan video’ bersama Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah yang menyempurnakan acara pembukaan Eksesais Satria Perkasa bagi peringkat Pemerintahan Medan Timur di 3 Briged, Sarawak.

Terdahulu, Ahmad Hasbullah berkata, Sungai Siput dipilih pada tahun ini kerana ia merupakan lokasi pertama darurat diisytiharkan di Tanah Melayu pada tahun 1948 sekali gus mengingatkan jasa dan pengorbanan pejuang terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

“Tiga orang peladang Inggeris telah dibunuh oleh pengganas komunis kerana di sini ialah kubu kuat mereka. Seterusnya, kita telah menentang komunis sehingga tahun 1989. 

“Sungai Siput juga orang tengok banyak kampung baru kerana di sini jugalah bermulanya Rancangan Briggs. Jadi, bila kita tahu sejarah, baru kita cintakan negara dan juga tentera,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN