TAMBUN – Dua remaja maut selepas mereka berdua lemas dalam kejadian di sungai berhampiran Kampung Tersusun Batu 4 di sini pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.57 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.
Mangsa adalah Alif Azam Azmin Azam dan Muhammad Farid Nazmi Abd. Khader yang masing-masing berusia 13 tahun.
“Tiba di lokasi, dua lelaki berusia 13 tahun disyaki dibawa arus sungai ketika mandi bersama tiga rakannya yang lain.
“Anggota bersama unit Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) terus melakukan operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambahnya, mayat pertama ditemui pada pukul 10.12 pagi diikuti mangsa kedua 16 minit kemudian dan kedua-dua mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE












