KLUANG – Dua lelaki, masing-masing merupakan penunggang motosikal dan pemandu kereta maut dalam kemalangan berasingan di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dan Jalan Yong Peng-Kluang di sini hari ini.
Dalam kejadian pertama pukul 3.20 pagi di Kilometer 83 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, mangsa – Muhamad Zulfikar Jono, 23, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah lagi motosikal.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, ketika kejadian, mangsa dan pemandu motosikal lain itu sedang menuju ke Ayer Hitam dari Simpang Renggam.
“Akibat pergeseran, kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan raya dan Mohamad Zulfikar maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche Besar Hajjah Kaslom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat manakala seorang lagi penunggang,
Muhamad Hafizee Mohamad Rafiee, 18, yang mengalami kecederaan parah dirawat di hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam kejadian kedua di Kilometer 76 Jalan Yong Peng-Kluang, seorang pemandu, M. Kalai Venthan, 29, maut selepas keretanya terbabas akibat hilang kawalan.
Dalam kejadian pukul 6.50 pagi itu, kereta mangsa yang dipandu menuju ke bulatan Taman Sri Lambak dari Jalan Teck Wah Hing, telah terbabas dan melanggar pagar Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kluang.
Berikutan pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat hentakan kuat di bahagian kepala dan kecederaan dalaman, dan turut dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama











