DOHA 11 Mac – Penunggang Itali, Andrea Dovizioso melakar kemenangan buat tahun kedua dalam perlumbaan pembukaan musim bagi kelas utama, MotoGP pada Grand Prix Motosikal Qatar, hari ini, sekali gus menafikan cabaran sengit daripada juara dunia, Marc Marquez untuk merampas kedudukan pertama.
Kedua-dua pelumba itu saling bertukar kedudukan pada pusingan terakhir, tetapi, Dovizioso yang memacu jentera Ducati mendahului hampir keseluruhan aksi dan memastikan kemenangan menjadi milik mutlaknya dengan hanya 0.023 saat (s) di depan pencabar dari Honda itu.
Keputusan di Litar Antarabangsa Losail itu mengulangi pencapaian tahun lalu apabila kedua-dua pelumba itu mengungguli dua tempat teratas pada tahun lalu, dengan Dovizioso mengatasi Marquez 0.027s. Kedudukan ketiga pula menjadi milik pelumba Britain, Cal Crutchlow.
“Saya gembira kerana sebelum perlumbaan hujung minggu, persembahan sangat teruk. Seronok apabila dapat memulakan perlumbaan dengan menundukkan juara dunia,” kata Dovizioso.
Penunggang Itali itu hadir di Doha dengan perasaan bimbang mengenai kelajuan jenteranya, namun, masih mampu memulakan aksi di petak kedua selepas kelayakan. Marquez pula yang bermula di petak ketiga, gagal merampas kedudukan teratas daripada Dovizioso di pusingan terakhir.–AFP











