KUALA LUMPUR 2 Mac – Tiada unsur pilih kasih atau berat sebelah. Demikian ditegaskan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad ketika diminta mengulas berhubung tindakan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap seorang peniaga Melayu di Jalan Genting Klang, Setapak di sini.
Beliau berkata, sebaliknya penguat kuasa terbabit hanya melaksanakan tugas berdasarkan peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu.
“Tindakan merampas barangan peniaga terlibat diambil kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.
“Kita ambil tindakan itu mengikut undang- undang, yang kata Melayu sahaja yang kena adalah tidak betul. Malam sebelum itu, ada juga peniaga Cina yang dikenakan tindakan atas kesalahan sama,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Penyerahan Kunci Residensi Jalilmas di sini.
Video berdurasi hampir empat minit di media sosial melibatkan tindakan sitaan barangan peniaga food truck hari ini mengundang pelbagai reaksi warganet yang mendakwa tindakan itu adalah tidak adil terutama kepada peniaga Melayu. – UTUSAN ONLINE











