Damainya cuti di Pulau Rawa - Utusan Malaysia

Damainya cuti di Pulau Rawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi Norahimah Karmain, Pulau Rawa Johor menjadi pilihannya untuk bercuti menikmati suasana pulau.

Pulau Rawa merupakan salah sebuah pulau yang ada di Johor dan dalam pemilikan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di bawah kelolaan Taman Laut Sultan Iskandar yang berada di perairan Laut China Selatan

Bagi yang berminat ke sana, pulau ini hanya boleh diakses melalui Jeti Mersing sahaja. Dari jeti ke pulau hanya mengambil masa 30 minit menaiki bot laju yang disediakan oleh pengusaha pelancongan manakala perjalanan dari Johor Bahru ke Mersing mengambil masa satu setengah jam sahaja.

“Kami memilih masa untuk menaiki bot dan bertolak pada pukul 10.30 pagi. Ternyata memang betul apa yang di uar-uarkan dalam internet selama ini bahawa Pulau Rawa ibarat Maldives of Johor.

“Saya perhatikan dengan penuh teruja pasirnya yang putih bak salji dan airnya biru menghijau bagai cermin telus nampak ke dasar laut.

“Jangan menyesal jika tidak mengambil tahu mengenai pulau ini dan lebih mendukacitakan anda tahu keindahannya tetapi belum pernah ke sana,’’ ujarnya.

Ketika ini, hanya ada dua resort di pulau berkenaan iaitu Rawa Island Resort yang paling besar menawarkan empat jenis bilik boleh pilih sama ada Frangipanni untuk keluarga, Water Front yang berkonsepkan premium sama seperti Frangipanni dan Beach Front. “Menginap di Beach Front memang menjadi idaman setiap pelancong kerana kedudukannya berhadapan dengan laut tetapi saiznya agak kecil berbanding sebuah lagi bilik iaitu Water Front,’’ ujarnya.

Resort kedua adalah Alang’s Rawa yang mempunyai jumlah bilik yang terhad tetapi sebagai alternatif mungkin penginapan ini boleh dijadikan pilihan.

Justeru pilihan yang terbaik baginya adalah menempah pakej Rawa Island Resort untuk percutian tiga hari dua malam (3H2M).

Pakej yang ditawarkan termasuk bilik, perkhidmatan bot laju ulang alik, sarapan dan makan tengah hari untuk dua kali, makan malam dan barbeku untuk sekali. Apa yang menarik resort menyediakan pelbagai aktiviti berkonsepkan free and easy yang menyeronokkan dan tidak terikat pada waktu. Ini bermaksud pengunjung boleh menyusun sendiri jadual aktiviti mereka dan meneroka mengikut masa yang sesuai.

Mereka yang berpeluang mendaki ke puncak bukit yang hanya mengambil masa pendakian kira-kira 15 minit boleh melihat keindahan matahari terbit dan pemandangan Laut Cina Selatan.

Kata Norahimah, aktiviti lain yang ditawarkan adalah permainan trampolin manakala bermain kejar-kejar dengan burung seperti kakak tua dan merak yang jumlahnya mencecah 50 ekor pasti menyeronokkan apatah lagi semasa memberi haiwan ini makan.

Dalam mana-mana program melibatkan pulau, aktiviti berjalan mengelilingi pulau (island walk) pastinya sangat ditunggu-tunggu. Pengunjung boleh melihat sekitaran, menikmati pemandangan sambil mengunjungi Taman Kaktus.

Di sini pengunjung boleh berehat dan bersantai melihat pemandangan laut sambil menikmati makanan ringan di Rock Bar dan mendengar persembahan pemain muzik setiap petang.

Seronok menikmati alam

Mereka yang biasanya bercuti di kawasan pulau pasti pernah melakukan aktiviti papan luncur air dalam cuaca  panas tetapi menyeronokkan. Selain itu, aktiviti snorkeling juga amat mengujakan dengan air jernih bagi melihat batu karang yang indah. Hanya sewa alat snorkeking RM8 sejam  dan pastinya pemandangan di dasar laut yang indah akan terbentang di depan mata.

Mereka yang suka berkayak dan selam skuba juga boleh mengambil peluang  beriadah sambil menikmati keindahan laut.

Selepas puas beraktiviti dan untuk melepaskan lelah, Beach Bar pastinya lokasi sesuai sambil bersantai dalam suasana malam mendengar lagu-lagu reggae.

Kemudahan yang ditawarkan oleh resort ini juga sesuai bagi mereka yang ingin menikmati indoor games termasuk gelanggang badminton, bola jaring, bola tampar pantai,  snooker dan pool.

Selepas sehari menghabiskan masa beraktiviti anda boleh berehat di bilik yang dilengkapi dengan kemudahan asas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN