Cuba rasuah ketua balai polis, lelaki Pakistan dipenjara sebulan - Utusan Malaysia

Cuba rasuah ketua balai polis, lelaki Pakistan dipenjara sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 27 Mac – Akibat cuba memberi suapan sebanyak RM150 kepada Ketua Polis Balai, seorang warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara satu bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Syed Ijaz Ali Shah, 28, didakwa menawarkan suapan berbentuk wang tunai sebanyak RM150 kepada Ketua Polis Balai Sungai Siput Utara, Inspektor Abdul Wahed Hamid di Balai Polis Sungai Siput Utara kira-kira pukul 1.30 petang pada 20 Mac lalu.

Rasuah itu sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang rakannya yang ditangkap atas kesalahan menyalahguna pas lawatan yang menjadi kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan- peraturan Imigresen 1963.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertuduhan terhadap lelaki yang bekerja di kedai runcit itu dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, R. Kumuthambal sementara tertuduh diwakili peguam, R. Rajasegaran.

Hakim S. Indra Nehru menetapkan tertuduh dihukum satu bulan penjara daripada tarikh ditangkap pada 20 Mac lalu dan denda RM10,000 serta enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini