KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta tidak terlalu bimbang dengan cuaca panas dan kering yang berlaku ketika ini kerana ia merupakan fenomena biasa yang berlaku setiap tahun, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Jailan Simon.
Bagaimanapun, mereka harus sentiasa berwaspada dengan mengamalkan minum air yang banyak serta mengurangkan aktiviti luar bagi mengelak terdedah kepada strok haba serta masalah kesihatan yang lain.
Jalian berkata, cuaca panas yang dialami antara Februari hingga pertengahan April merupakan penghujung monsun timur laut yang menyebabkan kadar hujan yang rendah.
“Pada masa ini lumrahnya memang panaslah. Matahari pun menghampiri khatulistiwa, kita pun memang alami situasi ni setiap tahun tapi kita jangan bimbang sangat sebab kita tak jangka cuaca panas yang ekstrem akan berlaku.
Bagaimanapun cuaca panas akan berkurangan menjelang hujung April nanti. Sebab kita jangka musim peralihan monsun akan masuk hujung Mac dan cuaca panas akan berkurangan menjelang hujung April, ” katanya dalam program terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini. – Bernama











