KUALA LUMPUR 29 Mac – Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak mendedahkan secara umum laporan yang disediakan Majlis Penasihat Kerajaan akan menghampakan seluruh rakyat di negara ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini kerana, tindakan itu mencerminkan kerajaan hari ini tidak bersifat lebih terbuka dan telus berbanding dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta untuk membentangkan laporan berkenaan dan dibahaskan secara terbuka di Parlimen agar rakyat mengetahui kandungan laporan itu.
“Rakyat menaruh harapan yang tinggi apabila Perdana Menteri membentuk CEP sebaik sahaja menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.
“Oleh kerana itu, saya selaku Ahli Parlimen juga amat kecewa apabila kerajaan memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa laporan CEP dijadikan rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan pengumuman itu sekali gus menghampakan harapan rakyat yang ingin melihat PH lebih terbuka dan telus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir bahawa laporan CEP berkemungkinan tidak akan didedahkan kepada umum sewaktu berucap pada majlis Persidangan dan Pameran Antarabangsa Perniagaan 4.0 dan Bandar 4.0, Rabu lalu.
Perdana Menteri berkata, tugas yang diamanahkan kepada CEP adalah membuat penyelidikan dan kemudian melaporkan dapatan tersebut kepada beliau. – UTUSAN ONLINE











