Catuan air di Benut, Sungai Pinggan - Utusan Malaysia

Catuan air di Benut, Sungai Pinggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN 19 Mac – Orang ramai perlu diberikan penerangan dan pemahaman kemungkinan berlakunya catuan air berikutan cuaca panas dan kering pada ketika ini di seluruh negara.

Sebagai persediaan awal, Pejabat Daerah Pontian dan Ranhill SAJ Daerah Pontian me­ngadakan taklimat bekalan air berjadual kepada ketua-ketua kampung Mukim Benut dan Sungai Pinggan.

Penghulu Mukim Benut, Mohd. Hisham Mazlan berkata, taklimat dihadiri 25 ketua kampung bagi kedua-dua mukim berkenaan sebagai pihak yang paling dekat de­ngan masyarakat setempat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, walaupun tidak pernah melakukan catuan air, sebarang kemungkinan boleh berlaku sekiranya paras empangan yang membekalkan air kepada penduduk mengalami penurunan.

“Taklimat ini memberi ruang kepada Ranhill SAJ sebagai pembekal air utama di negeri ini untuk menerangkan situa­si semasa kepada pemimpin di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui di Kompleks Penghulu Mukim Sungai Pinggan di sini semalam.

Sesi taklimat tersebut disampaikan Pengurus Operasi Ranhill SAJ Pontian, Razak Sufar dan Ketua Agensi Ranhill SAJ Pontian, Abd. Azizi Kutiran.

Mohd. Hisham berkata, penggunaan air secara berhemah perlu dilakukan supaya tiada berlaku sebarang pembaziran yang boleh memberi kesan kepada penggunaan bekalan tersebut kelak.

“Taklimat turut menyentuh punca bekalan air penduduk di kawasan Benut iaitu dari Empangan Simpang Renggam 2,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Zulkifly Tasrep berkata, taklimat tersebut penting sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan berlaku penjadualan bekalan air sampai kepada penduduk.

Katanya, orang ramai perlu bersedia memandangkan hampir 80 peratus rumah di kampung tidak mempunyai tangki penyimpanan air yang boleh digunakan sekiranya berlaku catuan air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini