PORTO 21 Mac – Iker Casillas berhasrat untuk menamatkan karier bersama Porto selepas memetrai perjanjian baharu bersama kelab itu yang menyaksikan dia akan kekal sehingga mencapai usia 40 tahun.
Bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu berada di Estadio do Dragao buat musim keempat selepas menjulang Primeira Liga dan Piala Super Portugal sejak menyertai mereka pada 2015 dari Real Madrid.
“Hari ini merupakan hari yang istimewa. Saya berasa selesa bersama kelab ini
“Apabila mereka memberikan saya peluang untuk memperbaharui kontrak, saya tidak teragak-agak. Saya sedia memberikan komitmen kepada kelab, presiden dan rakan sepasukan.
“Saya mahu kekal hingga mengakhiri karier sebagai pemain.
“Saya memiliki kenangan yang indah di sini dan pada mulanya saya menjangkakan hanya beraksi di sini setahun dua untuk bersara. Saya sangat bertuah kepada kelab ini sangat menghargai saya.” kata Casillas.
Presiden Porto, Jorge Nuno Pinto da Costa, menyifatkan Casillas sebagai “tokoh bola sepak dunia” dan berkata pemenang Piala Dunia 2010 itu meneruskan tradisi kelab memiliki penjaga gol yang berkualiti.
“Porto sentiasa memiliki penjaga gol cemerlang dan Casillas adalah salah seorang terbaik di dunia,” katanya.-AGENSI











