Boleh siar secara langsung biar rakyat tahu - Anwar - Utusan Malaysia

Boleh siar secara langsung biar rakyat tahu – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP 31 Mac – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tidak menjadi sebarang masalah sekiranya perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tujuh tuduhan berkaitan SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) bermula pada Rabu depan disiarkan secara langsung.

Bagaimanapun katanya, terserah kepada mahkamah memutuskan sama ada membenarkan siaran langsung atau sebaliknya kerana selama ini tidak pernah berlaku perkara demikian.

“Terserah pada mahkamah, tetapi bagi saya tidak ada masalah dan ada baiknya supaya rakyat tahu berapa banyak wang negara telah dirompak,” katanya ketika ditemui selepas majlis dialog bersama penoreh getah daerah Padang Terap di Pengkalan Tok Mas di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, Najib menyokong penuh agar perbicaraannya yang bermula pada Rabu depan disiarkan secara langsung kerana rakyat mempunyai hak untuk tahu kebenaran berhubung kes tersebut.

Beberapa pihak sebelum ini terutamanya yang menentang Najib menggesa agar perbicaraan kes beliau disiarkan secara langsung, namun cadangan itu juga mendapat sokongan mereka yang bersama pemimpin itu supaya kes itu dikendalikan secara telus.

Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 28 Mac lalu menetapkan 3 April ini untuk perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta yang dihadapi bekas Presiden UMNO tersebut.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu menangguhkan perbicaraan kesnya.

Perbicaraan kes itu pada awalnya dijadualkan bermula 12 Februari sehingga 29 Mac ini tetapi ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan 21 Mac lalu membenarkan permohonan penangguhan.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai desakan pelbagai pihak supaya kerajaan mendedahkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) kepada umum, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson meminta supaya mereka bersabar dan memberi ruang sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Dr. Mahathir telah memberi penjelasan dan kita tunggu keputusannya. Dalam keadaan sekarang Dr. Mahathir memaklumkan ada beberapa perkara yang tidak sesuai didedahkan.

Kita beri ruang kepada Dr. Mahathir,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini