SHAH ALAM – Bekalan air di tujuh empangan di Selangor mencukupi meskipun cuaca panas dijangka berterusan sehingga hujung Mac ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata, kesemua empangan berada pada tahap memuaskan iaitu melebihi 85 peratus ketika ini.
“Sehingga semalam paras air di Empangan Sungai Semenyih mencatatkan paras bacaan 99.52 peratus, Empangan Tasik Subang (97.40 peratus), Empangan Sungai Selangor (96.89 peratus), Empangan Sungai Tinggi (96.51 peratus) dan Empangan Batu (93.96 peratus).
“Dua lagi empangan iaitu Empangan Sungai Langat berada pada paras 93.27 peratus dan Empangan Klang Gates (88.78 peratus),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Menurut Izham, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan melaksanakan beberapa alternatif sekiranya cuaca panas berterusan. – Bernama











