KAJANG – Sangkaan penduduk sekitar terhadap bau busuk seakan bau mayat dari sebuah rumah teres di Jalan Dayang 44/8, Bandar Mahkota di sini meleset apabila pihak bomba menemui bangkai lapan ekor kucing yang sudah mereput di dalam rumah tersebut pada Isnin.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, pihak polis meminta pertolongan anggota bomba untuk membuka kunci mangga rumah tersebut selepas mendapat aduan daripada penduduk sekitar bahawa terdapatnya bau busuk dikhuatiri bau mayat manusia di situ.
“Seramai lima anggota dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi dan setibanya di sana, mereka mendapati rumah tersebut berkunci dan penghuninya juga tidak kelihatan.
“Anggota bomba terpaksa memotong kunci mangga itu dengan peralatan khas dan apabila ia terbuka, didapati bau busuk itu berpunca daripada lapan bangkai kucing yang sudah mereput dipercayai ditinggalkan oleh tuannya lalu mati kelaparan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau menambah, terdapat empat ekor kucing yang masih hidup dan anggotanya memberi makan kepada mereka dengan makanan yang terletak di dalam beberapa buah bekas yang ditinggalkan.
“Kucing-kucing yang lemah dan kehausan itu kami serahkan kepada penduduk sekitar yang membantu menjaga mereka.
“Tindakan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE











