MADRID – Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde mengakui saingan pasukannya dalam perebutan kejuaraan La Liga dengan Real Madrid masih belum berakhir meskipun mereka memiliki kelebihan 12 mata di depan berbanding skuad kendalian Santiago Solari.
The Catalans dilihat selesa di puncak liga selepas menundukkan Real 1-0 di Santiago Bernabeu hasil jaringan tunggal Ivan Rakitic awal pagi semalam.
Valverde enggan mendabik dada dengan kejayaan tersebut kerana tetap merasakan persaingan dalam mengejar kejuaraan liga masih belum berakhir.
“Tiada sebab untuk saya katakan peluang Real sudah tertutup selepas tewas kali ini. Mereka masih mempunyai masa dan tetap berkemampuan untuk menang secara berturut-turut apabila berdepan pasukan lain.
“Sementara itu, Atletico Madrid juga masih menjadi pasukan pencabar kejuaraan dan tidak masuk akal jika mengatakan semuanya sudah berakhir.
“Jika kami tewas selepas ini, jurang dengan Real pastinya akan lebih dekat.
“Apa pun kemenangan kali ini telah memberikan keyakinan kepada pasukan apabila dua kali membenam Real di Santiago Bernabeu.
“Tahun lalu, meskipun kami dipisahkan dengan jurang perbezaan yang jauh, namun Real tetap dapat membuktikan mereka terus mantap selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara apabila menundukkan Liverpool di pentas final,” kata Valverde. – Agensi










