Bapa tiri didakwa bunuh Muhammad Hafiz - Utusan Malaysia

Bapa tiri didakwa bunuh Muhammad Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN 5 Mac – Bapa tiri mangsa dera Muhammad Hafiz Firdaus Abdullah yang meninggal dunia kira-kira dua minggu lepas, hari ini dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membunuh kanak-kanak itu.

Penoreh getah, Muhamad Alias Othman, 55, sekadar mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Azizah Ahmad.

Dia didakwa membunuh Muhammad Hafiz Firdaus, 5, dengan menggunakan kayu pokok getah dan memijak badan mangsa sehingga menyebabkan kanak-kanak itu tidak sedarkan diri antara 10.30 pagi hingga 1 tengah hari pada 20 Feb lalu.

Pertuduhan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam kebun getah Kampung Air Hitam, Paloh Hinai di sini.

Mahkamah menetapkan 5 April ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan forensik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syamsul Kahar Ahmad Nadri manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Deniel Roslan.

Pada 21 Februari lalu, media melaporkan kematian Muhammad Hafiz Firdaus yang disahkan telah meninggal dunia semasa dihantar ke Klinik Kesihatan Padang Rumbia di sini oleh bapa tiri dan ibu kandungnya pada petang sebelumnya.

Pemeriksaan doktor mendapati anak sulung daripada dua beradik itu mempunyai kesan lebam baharu di dada, kesan cucuh api rokok di tapak kaki, bibir pecah, lebam mata kanan dan luka-luka kecil di kening kanan.

Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia disebabkan kecederaan berganda di kepala serta limpa pecah. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN