Bantahan penghinaan terhadap Islam capai matlamat - Utusan Malaysia

Bantahan penghinaan terhadap Islam capai matlamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 8 Mac – Bantahan umat Islam dalam isu penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW telah mencapai matlamatnya apabila tiga individu dihadapkan ke mahkamah hari ini.

MOHD. ASNA AMIN
MOHD. ASNA AMIN 

Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun Taman Lavender Heights, Senawang, Mohd. Asna Amin berkata, tindakan kerajaan itu amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam yang mengadakan beberapa siri bantahan sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, semua bantahan itu menyampaikan mesej yang sama bahawa perbuatan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW tidak boleh dibiarkan sewenang-wenangnya dan mesti dikenakan tindakan yang tegas demi menjaga serta mempertahankan kesucian Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pertuduhan yang dikenakan juga menggambarkan keseriusan kesalahan itu apabila mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin sehingga perbicaraan akan datang,” katanya kepada Utusan Online di sini malam ini.

Beliau mengulas kes tiga lelaki yang mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam di negara ini dengan melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan agama di media sosial didakwa atas 11 petuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Chow Mun Fan, 43, dan Danny Antoni, 28, masing-masing mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Sementara Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, pula mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan serta 505 (c) Kanun Keseksaan yang membawa penjara yang boleh sampai dua tahun.

Selain itu, mereka turut didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Pada 1 Mac lalu, Mohd. Asna mengetuai lebih 500 umat Islam berhimpun di pekarangan Masjid Ibnu Khaldun, dekat Senawang di sini selepas solat Jumaat bagi membantah penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad SAW yang berlaku seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ sejak akhir-akhir ini.

Para peserta yang terdiri daripada jemaah masjid berkenaan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak berkuasa bertindak segera mencegah perbuatan itu yang boleh menimbulkan kemarahan umat Islam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini