KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengekalkan prestasi yang baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 di sebalik persekitaran mencabar dan pertumbuhan sederhana ekonomi global.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Zeti Aziz berkata, jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) PNB meningkat sebanyak 6.9 peratus kepada 298.5 bilion pada 2018, berbanding 279.2 bilion pada tahun sebelumnya.
“Pendapatan bersih PNB kekal stabil pada RM17 bilion manakala peningkatan AUM mencerminkan keyakinan pemegang unit terhadap PNB.
“Dana kami juga terus memberi pulangan baik dengan agihan pendapatan dan bonus sebanyak RM15 bilion untuk semua dana pada 2018, iaitu jumlah agihan tahunan terbesar sejak penubuhan PNB,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman prestasi tahunan PNB dan pengisytiharan pendapatan bagi lima dana yang diurus syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) di sini semalam.
Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Selain itu, di bawah kategori Dana Harga Tetap, PNB mengisytiharkan dividen sebanyak 6 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan 5.5 sen seunit bagi Amanah Saham malaysia (ASM).
Ia melibatkan agihan pendapatan berjumlah RM1.7 bilion, melibatkan 946,000 akaun pemegang unit.
Bagi kategori Dana Harga Berubah, PNB mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 4.1 sen untuk ASN Equity 3, 4.2 sen bagi ASN Imbang 2 dan 5 sen buat ASN Sara 1, dengan jumlah agihan bagi ketiga-tiga dana sebanyak RM236.1 juta.
Menurut Zeti, persekitaran ekonomi dijangka kekal mencabar tahun ini dengan ketidaktentuan ekonomi global dan perubahan pada sistem kewangan antarabangsa terus mengekang pertumbuhan ekonomi banyak negara.
Jelasnya, pihaknya akan terus mempelbagaikan portfolio pelaburan PNB tidak hanya di pasaran kewangan global seperti di Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom serta pasaran membangun di Asia dan Eropah, tetapi juga di pasaran bon tempatan dan kelas aset lain seperti REIT.











