Arsenal perlu konsisten rebut tiket UCL - Emery - Utusan Malaysia

Arsenal perlu konsisten rebut tiket UCL – Emery

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 11 Mac. – Arsenal mengorak langkah penting untuk merebut tiket Liga Juara-Juara (UCL) musim depan selepas menewaskan Manchester United 2-0 di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pengendali Arsenal, Unai Emery tidak mahu anak buahnya terbawa-bawa kemenangan itu, sebaliknya mahu mereka kekal fokus dan memberikan persembahan yang konsisten.

Jaringan Granit Xhaka dan Pierre-Emerick Aubameyang memastikan Arsenal meraih kemenangan sembilan kali berturut-turut di laman sendiri, selain menyaksikan The Gunners memintas lawan mereka itu di tangga keempat.

Memuatkan artikel berkaitan…

The Gunners juga tidak akan lagi bertemu mana-mana enam pasukan teratas untuk baki musim ini, namun Emery mengakui perjalanan masih jauh.

“Kami positif. Ketika kami bergelut dalam kedudukan liga dengan perbezaan mata yang banyak, kami tetap tenang.

“Selepas kemenangan ini, kami boleh bersikap positif tetapi ia tidak akan mengubah pendekatan kami. Ia akan berterusan dan ia menjadi lebih sukar.

“Jadi, kami hanya memikirkan perlawanan demi perlawanan. Kami sedang bersaing dalam dua kejohanan, EPL dan Liga Europa. Kami akan beraksi dalam perlawanan seterusnya menentang Newcastle United di sini dalam masa tiga minggu lagi,” katanya.

Pengendali dari Sepanyol itu juga mahu pasukannya menumpukan aksi kedua pusingan 16 terbaik Liga Europa bertemu Rennes.

“Tumpuan kami ketika ini ialah aksi timbal balik dengan Rennes, Jumaat ini. Kami gembira dengan aksi hari ini dan kedudukan kami dalam liga menjadi lebih baik selepas keputusan ini. Bagaimanapun, Chelsea, United dan Tottenham juga mampu menggugat kami. Perlawanan terakhir bakal menjadi perlawanan yang sengit.

“Mengekalkan aksi konsisten sangat penting pada masa ini. Kami bermain dengan penuh keyakinan dalam setiap kejohanan dan hari ini kami membuktikannya,” ujarnya.

Emery membuat lima pertukaran berbanding pasukan yang ditewaskan 1-3 di Rennes dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Eropah, Jumaat lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini