RENNES – Pengurus Arsenal, Unai Emery mahu The Gunners mempelajari cara untuk beraksi dengan 10 pemain selepas situasi itu menyebabkan mereka tewas 1-3 kepada Rennes pada aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Liga Europa di Stadium Roazhon Park awal pagi semalam.
Dalam aksi tersebut, Sokratis Papastathopoulos diarahkan keluar padang pada minit ke-41 perlawanan selepas menerima layangan kad kuning kedua, sekali gus menjadikan dia sebagai pemain ketiga The Gunners yang dibuang padang pada enam perlawanan terakhir.
Biarpun Arsenal terlebih dahulu memimpin perlawanan pada minit keempat dengan jaringan Alex Iwobi, namun Rennes berjaya memanfaatkan ketiadaan pemain pertahanan itu menerusi jaringan Benjamin Bourigeaud, Ismaila Sarr dan gol sendiri Nacho Monreal.
Emery menjelaskan, kehilangan seorang pemain dalam padang ternyata merencatkan persembahan pasukannya dan menjadi punca kekalahan mereka kepada tuan rumah.
“Saya fikir pada aksi kali ini, kami berjaya melakukan beberapa perubahan se-perti apa yang kami mahukan, tetapi malangnya kad merah itu telah mengubah segalanya.
“Tidak dinafikan keputusan untuk melayangkan kad kuning kedua kepada Sokratis sememangnya terletak di tangan pengadil, namun selepas ini kami perlu mencari cara bagaimana untuk bermain sekiranya kekurangan seorang pemain di atas padang.
“Pemain gagal menyerap tekanan dengan baik meskipun saya rasa kami sebenarnya mampu bermain dengan lebih baik berbanding Rennes,” kata Emery.
Bagaimanapun, Emery tetap yakin pemain Arsenal mampu melakukan kebangkitan pada aksi timbal balik kedua di Stadium Emirates minggu hadapan. – Agensi.











