KUALA LUMPUR 4 Mac – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sedia menyalurkan segenap maklumat atau aduan bagi membantu kelicinan pembangunan pendidikan negara di bawah Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik seandainya terdapat sabotaj politik yang dilakukan pihak-pihak tertentu.
Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, ini ekoran laporan serta aduan yang diterima daripada beberapa sekolah seluruh Malaysia kepada Biro Aduan, Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra) yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan di bawah Biro Pendidikan Armada.
Katanya, antara perkara menjadi kegusaran pihak Agra ialah isu kekurangan serta masalah peralatan sekolah.
“Andai terdapat sabotaj politik yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dan merencatkan perubahan yang giat dilakukan pihak Menteri Pendidikan, Biro Pendidikan Armada mahupun Agra bersedia menyalurkan segenap informasi atau aduan untuk membantu kelicinan pembangunan pendidikan.
“Diharapkan setelah segenap bantuan disalurkan, pihak kementerian juga dianjurkan untuk menguar-uarkan kepada khalayak perubahan yang telah dibawa sebagai bukti khidmat demi masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, isu kekurangan guru cukup meruncing apabila banyak aduan memaklumkan bermula bulan ini, tiada lagi peruntukan untuk kemasukan guru ganti andai ada guru bersalin atau cuti sakit berpanjangan.
“Ini semestinya membebankan dan mengganggu proses penyampaian ilmu di sekolah,” katanya.
Mengenai isu peralatan sekolah, Mohd. Ashraf Mustaqim berkata, terdapat banyak pihak mengadu sekolah-sekolah tidak mempunyai kelengkapan yang cukup.
“Kami memerima pelbagai aduan tentang ketiadaan meja dan kerusi sehingga ramai anak pelajar terpaksa duduk di lantai tanpa keselesaan demi meneruskan sesi pembelajaran.
“Maka pihak Biro Pendidikan Armada amat berharap peruntukan segera atau langkah yang lebih proaktif pihak kementerian kepada setiap sekolah yang memaklumkan aduan mereka kepada kementerian,” katanya.-UTUSAN ONLINE










