KETUA jurulatih Selangor, B. Sathianathan enggan menyalahkan individu tetapi mengakui penjaga gol utama pasukannya, Khairul Azhan Mohd. Khalid sepatutnya boleh menyelamatkan jaringan-jaringan Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika tewas 2-4 pada aksi Liga Super kelmarin.
Pada aksi di Shah Alam itu, Khairul Azhan dilihat gagal menepis dengan baik dua rembatan pemain barisan serangan JDT, sekali gus membolehkan penyerang import mereka, Velazquez Leandro dan Diogo Luis Santo meledak gol dengan mudah.
Sathianathan berkata, beliau akan berbincang dengan Azhan yang dilihat bergelut dengan prestasi sejak awal musim ini memandangkan ini adalah kali kedua berturut-turut Selangor dibolosi empat gol di laman sendiri selepas tewas 0-4 kepada PKNS FC bulan lalu.
“Saya tidak menafikan gol-gol yang kami lepaskan sepatutnya boleh dielakkan dan ianya boleh dikatakan gol cukup mudah buat pasukan JDT. Saya akan berbincang dengan Azhan tentang perkara ini tetapi saya tidak boleh menyalahkan dia 100 peratus.
“Tugas saya adalah untuk menaikkan motivasi pemain meskipun diakui dia sepatutnya boleh menyelamatkan jaringan tersebut memandangkan setiap serangan yang JDT lakukan menghadiahkan gol buat mereka.
“Mungkin aksi yang dipamerkan di benteng pertahanan juga perlu dikaji dan saya harap rehat selama seminggu nanti kita akan perbaiki segala aspek kelemahan sebelum pertemuan menentang Kuala Lumpur Sabtu depan,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu turut memuji jentera serangan Selangor yang dilihat lebih efektif dengan kehadiran pemain import baharu dari Brazil, Sandro, cuma nasib tidak menyebelahinya untuk meledak gol pertama buat Gergasi Merah.
“Sandro baru menyertai pasukan minggu ini dan sukar untuk membentuk persefahaman dalam masa singkat. Namun, dia memiliki peluang untuk menjaringkan gol menerusi sepakan percuma tetapi terkena palang,” katanya.









