Apa jadi hospital wanita Putrajaya? - Utusan Malaysia

Apa jadi hospital wanita Putrajaya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 4 MAC. – STATUS pengubahsuaian bangunan empat tingkat untuk dijadikan Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak di Presint 8 di sini yang terbengkalai sejak beberapa tahun lalu mencetuskan pelbagai persoalan penduduk.

Memuatkan artikel berkaitan…
NOTIS kerja pembangunan yang menyatakan tarikh bermula pada 2016.
NOTIS kerja pembangunan yang menyatakan tarikh bermula pada 2016. 

Penduduk mendakwa, tapak yang ditinggalkan itu dikhuatiri menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes ekoran peningkatan kes demam denggi di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.

Penduduk, Carlos Najmul Basri berkata, kewujudan projek yang berpagar itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk kerana terbiar terlalu lama.

“Kes demam denggi di kawasan ini kerap berlaku. Kementerian Kesihatan ada datang untuk melakukan semburan atau ‘fogging’ tetapi tidak dapat masuk ke tapak projek kerana berkunci.

“Kami risau kawasan itu adalah puncanya. Lagipun dari luar kami nampak ada lambakan sampah dan kawasan air bertakung,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Carlos mendakwa, proses pengubahsuaian bangunan berkenaan telah bermula sejak September 2016 namun sehingga kini tiada tanda-tanda yang menunjukkan kerja-kerja telah siap dilaksanakan

Selain masalah itu katanya, penduduk juga khuatir operasi hospital yang terletak berhampiran kawasan perumahan itu akan menyebabkan masalah lalu lintas dan parkir.

“Di sini adalah kawasan komuniti, tempat letak kereta sekarang pun tidak mencukupi. Ba­yangkan jika ia beroperasi kelak. Bukan sahaja orang ramai, pihak hospital juga akan berdepan dengan kesukaran,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Senibina dan Inspektorat Bangunan Perbadanan Putrajaya (PPj), Shamsul Bahri Rahmat berkata, tinjauan pihaknya mendapati kerja-kerja selenggara di tapak projek ber­kenaan masih dilaksanakan oleh beberapa pekerja.

Bagaimanapun katanya, kawasan tapak pembinaan kelihatan tidak terurus serta dipenuhi sisa bahan binaan dan sampah.

Katanya, keadaan itu tidak seharusnya berlaku kerana boleh mendatangkan kacau ganggu dan mengancam kesihatan orang awam di kawasan sekitar tapak.

“Sehubungan itu, PPj telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 87, Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) kepada pemilik projek ber­kenaan iaitu Zaqrul Associates Sdn. Bhd. untuk menghapuskan sebarang kacau ganggu dengan serta-merta,” katanya.

Mengenai dakwaan projek berkenaan terbengkalai, Shamsul Bahri memaklumkan pemilik premis tidak memaklumkan kepada PPj sebab penangguhan kerja-kerja dan pihaknya juga tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan sebarang tempoh masa sesuatu pembangunan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN