KANSKHEDA, India – Seekor anjing buta sebelah mata menarik perhatian umum selepas menjadikan anak monyet sebagai anak angkat termasuk menyusu dan sering membawanya di belakang badan di perkampungan Kanskheda, negeri Madhya Pradesh baru-baru ini.
Anak monyet berkenaan diselamatkan anjing betina yang dinamakan sebagai Ruby daripada serangan kawanan anjing lain di sini dan sentiasa mengawasinya, menurut pemilik anjing berkenaan, Suresh Prabhy.
“Sebelum anjing-anjing lain cuba menerkamnya. Ruby yang menganggap monyet itu seperti anak akan mematahkan serangan itu dan menyelamatkannya. Sudah sebulan setengah mereka menjadi pasangan dan menarik perhatian penduduk kampung,” ujarnya.
Kisah mengenai pasangan haiwan itu menjadi topik perbualan di bandar Seoni Malwa, daerah Hoshangabad sekali gus menarik kunjungan penduduk berdekatan ke rumah Prabhy untuk melihat Ruby dan anak angkatnya. – Agensi.











