KUCHING 1 Mac – Suara Sarawak, akhbar baharu berbahasa Melayu, akan mula diedar hari ini, dengan permulaan edaran sebanyak 10,000 naskhah yang boleh didapati di seluruh Sarawak.
Ketua Pegawai Operasinya Rudi Affendi Khalik berkata, akhbar tabloid 56 muka surat itu berhasrat untuk memberi laporan seimbang dan mempunyai pasukan editorial seramai 70 orang, terdiri daripada pengarang dan wartawan tempatan yang berpengalaman.
“Kami akan berkerja rapat dengan semua pihak termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama)..apa yang penting ialah untuk rakyat menyuarakan pandangan dan pendapat mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Rudi berkata, akhbar itu juga akan menjadi platform kepada kerajaan Sarawak untuk menjelaskan dasar, insentif dan pembangunan yang akan dilaksanakan untuk rakyat, dengan itu berfungsi sebagai jambatan antara kerajaan dengan rakyat.
Suara Sarawak akan meliputi isu-isu tempatan, perniagaan, hiburan, sukan dan berita global selain mempunyai bahagian Iban.
Rudi berkata, akhbar harian itu juga meninjau untuk meneroka dalam liputan radio dan televisyen dalam talian pada masa akan datang.
Akhbar harian itu dicetak di Kuching dan boleh didapati terutamanya di Kuching, Sibu dan Miri selain diedarkan di kawasan luar bandar dan dijual pada RM1 senaskhah. – BERNAMA











