Akaun RM1 juta bekas pemimpin NGO dibeku - Utusan Malaysia

Akaun RM1 juta bekas pemimpin NGO dibeku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Akaun bank seorang bekas pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dipercayai bernilai RM1 juta dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini selepas mendapati mempunyai kaitan dengan siasatan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut sumber, selain akaun terbabit, tiga kenderaan mewah iaitu Vellfire, Mini Coo­per dan Range Rover milik bekas pemimpin Pas itu yang dibeli sejak 2015, turut dirampas dengan jumlah keseluruhan RM2.3 juta.

“Pembekuan akaun tersebut dilakukan selepas siasatan mendapati wang bernilai RM1 juta itu disyaki adalah sebahagian daripada wang milik 1MDB yang diselewengkan, diterima pemimpin berkenaan melalui satu transaksi daripada akaun milik individu yang ketika ini sedang disiasat SPRM.

“Sehubungan itu, sitaan ter­­babit dilakukan mengikut Akta SPRM dan Akta Pencegahan Peng­ubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya di sini hari ini.

Tambah sumber, SPRM juga akan mengambil beberapa dokumen berkaitan transaksi terba­bit daripada pihak bank bagi mengetahui status wang yang diragui sumbernya itu.

Akhbar sebelum ini melapor­kan, SPRM telah memanggil beberapa individu termasuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berhubung kes wang RM90 juta yang disyaki dite­rima pemimpin Pas melalui 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull baru-baru ini bagaimanapun mengesahkan tiada dana itu dimasukkan ke dalam akaun rasmi Pas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN