PEPATAH mengatakan ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Itu yang dilakukan Akademi Bola Sepak Rusham apabila melatih kanak-kanak seawal usia lima tahun untuk menjadi pemain bola sepak profesional.
Akademi yang beroperasi sejak 2014 di padang bola sepak Batu 17, Tunjang, Kedah itu pada mulanya menggunakan nama Kelab Bola Sepak Kenari Kid Batu 17.
Ia bagaimanapun dijenamakan semula selepas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Rusham Abu bersetuju menjadi penyumbang dana terbesar tahun ini.
Akademi tersebut menjadi platform mencungkil bakat pemain bola sepak dengan matlamat mewakili Kedah dan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi.
Turut menyuntik dana dalam akademi itu adalah pemenang Anugerah Puskas Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2017, Mohd. Faiz Subri.
Bekas pemain Pulau Pinang itu turut turun padang bagi memberi tunjuk ajar kepada lebih 120 pelatih di akademi berkenaan.
Akademi itu juga didaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan pada Februari 2017 sebelum didaftar di bawah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada 2014.
Menurut Rusham, objektif beliau memberi dana kepada akademi tersebut adalah untuk meningkatkan martabat bola sepak Kedah dan kebangsaan dengan mencungkil bakat di peringkat akar umbi.
Beliau juga telah mengikuti perjalanan akademi itu sepanjang 2018 dalam kejohanan peringkat umur dan melihat pemain-pemain cilik yang ada memiliki bakat besar.
“Saya melihat pemain-pemain cilik dalam akademi ini memiliki bakat besar yang mampu diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
“Untuk melihat mereka lebih maju dan tidak terabai, saya mengambil tanggungjawab ini dengan hati ikhlas demi rasa cinta kepada bola sepak negara.
“Sebenarnya saya sudah menyertai akademi ini sejak 2018 ketika itu dikenali Kenari Kids Batu 17, namun bermula Januari 2019 saya mengambil langkah menjenamakan semula menjadi Akademi Rusham.
“Harapan saya supaya akademi ini mampu menyediakan pelapis berpotensi besar menerusi pembangunan bola sepak akar umbi sebaris dengan akademi luar negara.
“Kami juga berharap dapat meningkatkan taraf bola sepak di Kedah,” kata bekas pemain Johor era 90-an itu.
Ketika dilancarkan, jumlah pelatih hanya 20 orang, namun ia bertambah secara mendadak dan sehingga kini pelatih yang dipilih dibahagi kepada tiga peringkat usia iaitu bawah lapan tahun, 10 tahun dan 12 tahun.
Kanak-kanak yang terpilih menyertai akademi ini dibekalkan dengan jersi khas dan kelengkapan serta peralatan sukan terkini.
Mereka berlatih selama empat jam seminggu dan diberi bimbingan sepenuhnya oleh barisan jurulatih profesional dan turut didedahkan dengan klinik video bola sepak dan sesi mandi ais dari peringkat awal untuk menjadi pemain profesional.
Bekas pemain Pulau Pinang, Faiz berkata, pembangunan dalam akademi ini bukan sahaja mahu melahirkan pemain bola sepak berbakat namun turut menerapkan nilai-nilai murni serta disiplin yang tinggi kepada setiap pelatih.
“Setiap negara yang maju dalam bola sepak begitu menitik beratkan pembangunan daripada akar umbi dalam melahirkan seorang pemain yang berbakat.
“Di sini juga kita turut menekankan aspek disiplin yang tinggi agar pemain mempunyai sikap baik di dalam dan luar padang,” ujarnya.
Sepanjang 2018, pelbagai kejayaan berjaya dikecapi antaranya muncul juara bawah 11 tahun Kejohanan JSSL Antarabangsa tujuh sebelah di Singapura.
Mereka juga muncul juara bawah 10 tahun Kejohanan Liga Super Tunas Gemilang Pulau Pinang, juara Kejohanan Soccer Kids Merdeka, Piala Tujuh Sebelah Melaka bawah 11 dan banyak lagi.











