KUALA LUMPUR 1 Mac. – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menunggu lama untuk mencari pengganti Kepulauan Solomon apabila mengesahkan Afghanistan akan menyertai kejohanan antarabangsa empat negara, Piala Airmarine 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 20 hingga 23 Mac ini.
Semalam, Persekutuan Bola Sepak Kepulauan Solomon (SIFF) menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Leonard Paia mengesahkan mereka terpaksa menarik diri daripada saingan Piala Airmarine selepas mencapai persetujuan dengan Taiwan dalam perlawanan persahabatan pada 24 Mac.
Berdasarkan peraturan kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), setiap pasukan hanya boleh mengharungi maksimum dua aksi dalam satu jendela antarabangsa.
Dengan pengesahan Afghanistan, pasukan ranking ke-147 dunia, maka empat pasukan termasuk Malaysia, Singapura dan Oman bakal bersaing merebut kejuaraan sulung.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, selepas menerima perkhabaran daripada SIFF berkenaan penarikan diri, pihaknya telah menghubungi beberapa pasukan yang berpotensi mengisi kekosongan itu.
“FAM telah mengambil langkah segera dengan menghubungi beberapa negara berpotensi bagi menawarkan tempat untuk mereka menggantikan slot yang dikosongkan Kepulauan Solomon dan akhirnya Afghanistan tampil memberi pengesahan rasmi, hari ini.
“Dengan kehadiran Afghanistan, ketiadaan Kepulauan Solomon dalam senarai terkini pasukan bertanding tidak akan menjejaskan Piala Airmarine kerana dari segi kualiti pasukan, kedudukan Afghanistan dalam Ranking FIFA lebih kurang sama,” katanya.
Empat pasukan yang bertanding pada Piala Airmarine akan diundi pada Isnin ini bagi menentukan lawan masing-masing untuk aksi separuh akhir pada 20 Mac 2019.











